Thursday 27 November 2014

perabut dari bahan terbuang

Hari ini saya nak berkongsi dengan rakan-rakan untuk membuat perabut dari bahan terbuang. Bahan yang saya nak di kongsikan adalah perabot dari kayu pallet. Kadang-kadang banyak kayu-kayu pallet yang terbuang di tepi jalan. Lepas ni kayu pallet jangan dibuang , gunakan untuk menceriakan rumah kita dari bahan yang percuma dan telah dibuang.Cuba lihat perabut ini? . Cantik kan? Boleh cuba ye ?


Alat-alat dan bahan yang digunakan:-
1. Tukul
2. Gergaji
3. Scraper
4. Paku
5. Berus cat
6. Syelek atau cat
7. Wood filler ( penutup lubang )
8. Kertas pasir

Caranya mudah aje.
1. Buat lakaran lukisan perabot kita
2. Cari kayu pallet yang tidak digunakan lagi.
3. Ambil tukul dan tanggalkan pakunya
4. Cabut paku-paku yang tertinggal
5. Ketam kayu yang hendak digunakan
6. Potong mengikut saiz yang kita kehendaki
7. Paku kayu mengikut bentuk perabot yang kita lukis.
8. Gosok dengan kertas pasir
9. Buat kemasan. Di syelek atau dicat.
10. Letakkan cermin diatasnya.

Tuesday 4 November 2014

KURSUS MEMBUAT PERABUT

Salam dan Selamat sejahtera.
Setelah sekian lama saya berjanji dengan rakan-rakan untuk mengadakan kursus maka baru kali ini saya dapat tunaikan. Saya telah beberapa kali nak membuat kursus ini tapi disebabkan masa saya yang  padat dengan bisnes dan jadual kerja saya maka saya terpaksa tangguhkan. Dan kali ini saya bersyukur kerana mempunyai masa terluang disebabkan pelajar-pelajar saya sedang cuti semester . Kursus yang saya akan adakan adalah pada masa dan tempat seperti dibawah :-

         NAMA KURSUS               :    KURSUS ASAS MEMBUAT PERABUT
         TARIKH KURSUS            :    30HB.NOV.2014
         TEMPAT                            :    NO.10, JALAN HIJAU , TAMAN BUKIT PASIR, 83000
                                                          BATU PAHAT JOHOR.
         TEMPOH                           :   1 HARI
         MASA                                :    8.30 PAGI    -   5.00 PTG
         BAYARAN                        :   RM450.00
         MAKAN DISEDIAKAN   :   MINUM PAGI/MAKAN TENGAHARI/MINUM PTG
         BAHAN                              :   DISEDIAKAN
         NOTA                                 :   DIBERI
         SIJIL                                   :   BERI

JADUAL KURSUS       :

-          PENGENALAN                      -   9.00    -  9.15 PAGI
-          ALAT DAN BAHAN              -   9.15    -  10.30 PAGI
-          REHAT/MINUM PAGI         -  10.30   -  11.00 PAGI
-          AMALI                                    -  11.00    -  12.30 PTG
-         MAKAN TENGAHARI          -  12.30    -  2.00 PTG
-         AMALI                                     -   2.00      -  4.30 PTG
-         PENYAMPAIAN SIJIL/PENUTUP
-         MINUM PETANG/BERSURAI.

PENDAFTARAN BOLEH DILAKUKAN DI EMAIL : SKILLPERABUT@GMAIL.COM ATAU WASAP KE 012-7869205. NYATAKAN NAMA, ALAMAT DAN  NO.HP.
CALON-CALON YANG BERJAYA AKAN DIHUBUNGI MELALUI HP DAN EMAIL.

Pihak kami hanya boleh mengambil 20 peserta sahaja dalam satu masa. Jika terdapat lebih calon yang mendaftar maka calon akan dicadangkan ke tarikh minggu yang seterusnya. Calon yang mendaftar dahulu akan diberi keutamaan.  Cepat jangan terlambat. Jangan membuat bayaran dahulu kerana cara membuat bayaran akan dimaklumkan melalui email/wasap. segala pertanyaan boleh hubungi hp diatas.  Sesiapa yang memerlukan penginapan boleh hubungi penganjur. tq

Sunday 2 November 2014

Kabinet Simpan Barang

Seorang rakan bertanya saya. Macamana nak buat kabinet simpan barang yang nampak cantik dan kemas. Lalu saya bagi contoh kabinet yang saya buat untuk pelanggan. Ia diletakkan disatu sudut dapur rumah hingga ke aras siling. Mempunyai 4 pintu dan ditengahnya diletakkan pintu cermin yang terang dan di bahagian dalamya dipasang cermin muka. Bahagian dalam kabinet ni boleh menyimpan periok, alat-alat memasak dan carpet rumah. Kotak bercermin pula diletakkan set cawan dan pinggan mangkok yang mahal. Nampak kemas dan menarik. 


Peminat Blog Saya

Semalam saya ke rumah pelanggan bersama pekerja untuk memasang kabinet. Tiba-tiba datang seorang jiran taman itu datang dan melihat pekerja memasang kabinet disitu . Beliau bertanya kepada saya kilang di mana? Dan saya menjawab , di semerah Batu Pahat Johor. Kemudian beliau berkata lagi, saya selalu mengikuti blog seorang designer perabut di Semerah jugak. Saya tanya dia, apa nama blog tu ? Skillperabut.blogspot.com. Oh...ye ke? saya ingat saya nak jumpa dia nak designkan rumah saya. Encik kenal ke designer tu.  Sayalah orangnya. Ohhh....ye ke? Teruja sangat saya jumpa blogger terkenal tu dan dapat menempah kabinet dari tuan. Tak de lah terkenal cuma ramai yang mengikuti blog saya dan berhubung dengan saya. Cikgu buatlah kelab pengikut blog cikgu yang jadi peminat design cikgu macam saya ni. Pengunjung pun dah puluhan ribu.Saya cuma ketawa aje.. Dalam hati, aku ni blogger terkenal ke.... ha..ha.. mudah-mudah aku tidak dibuai mimpi. 

Wednesday 8 October 2014

Belajar Buat Perabut


Salam sejahtera untuk sahabat-sahabat semua.

Hari ini saya nak kongsi sedikit ilmu dengan rakan-rakan cara nak buat kotak hiasan yang mudah dan ringkas. Kotak hiasan ini boleh digunakan untuk menghiasi dinding ruang tamu dan ruang makan. Ianya nampak simple dan cantik. Bahannya tak banyak dan kosnya murah.




Bahan-bahan

1.  Plywood 15mm x 1' x 16"                -    2 keping
2.  Plywood 15mm x 1' x  14 1/2 "        -    2 keping
3.  Plywood putih  4mm x 16" x 16"     -    1 keping
4.  Kayu  1/2" x 2" x 16"                       -    2 btg
5.  Kayu  1/2" x 2" x 14 1/2"                 -    2 btg
6.  Paku/skru 1/2"                                  -    8 btg
7.  Paku 1/2"                                          -    12 btg
8.  Paku 1" ( untuk kayu belakang )      -     12 btg
9. Gam sentuh ( contact glue ) secukupnya.
10. Formika 1' x 16"                              -    2 keping
11. Formika 1' x 14 1/2"                        -    2 keping
12. Wall plug 1 1/2"                              -     9 btg

Peralatan.

1.    Mesin pemotong atau gergaji
2.    Tukul Besi
3.    Screw driver atau cordless
4.    Nail gun
5.    Kikir rata
6.    Dan alat-alat pertukangan lain.
7.    Drill


Langkah-langkah.

1.  Potong plywood mengikut saiz.
2.  Cantumkan dengan nail gun atau paku.
3.  Pasang plywood belakang
4.  Pasang formika dan ratakan dengan kikir
5.  Pasang edging PVC.
6. Pasang pada tempatnya.

Nota :

Untuk pengunjung-pengunjung yang masih belum mengenali bahan atau alatan , sila baca entry saya sebelum ini yang menerangkan alat dan bahan.

Terima kasih. Semoga bertemu di entry yang akan datang.

Tuesday 30 September 2014

Projek Baruku

Kali ni saya diminta oleh seorang rakan untuk membuat kabinet Dapur rumah barunya. Dan warna pilihan bagi kabinet dapur beliau adala warna hitam glaze yang dipasang hingga ke siling. Saya pun tak tahu mengapa sejak akhir-akhir ni ramai kalanggan pelanggan saya memilih warna hitam dan warna yang terang-terang. Mungkin trend sekarang lebih berani menampilkan warna-warna yang cerah dan terang lebih menarik dan ceria. Ianya juga tahan sepanjang masa. Kabinet yang saya buat sekarang jarang yang menggunakan plywood nyatuh. Kalau ada pun terdiri daripada kalangan pelanggan yang berumur 45 tahun ke atas. Walau bagaimanapun ianya juga bergantung kepada minat pelanggan. Terima kasih.







Monday 29 September 2014

Kabinet Warna Hitam Sungguh Menawan

Hari ini saya nak tunjukkaan satu kabinet dapur yang saya buat untuk pelanggan. Rekaan kabinet ni saya buat simple saja sesuai dengan minat pelanggan. Sebuah rumah banglo yang dipunyai oleh seorang pensyarah. Kabinet ni saya buat dari papan multiboard padu setebal 15mm dan dikemaskan dengan fomika hitam glaze. Edgingnya pula menggunakan edging almunium. Bagi pandangan saya ianya nampak menyerlah dengan warna hitam dan dindingnya dicat dengan warna cerah. Sungguh menawan sekali. Tahniah Pn. Rohaya.






Saturday 27 September 2014

Jejaring sekatan

Salam ,
Beberapa hari lalu saya tolong rekakan satu jejaring sekatan antara dapur dan ruang makan. Walaupun ianya agak ringkas tapi rakan saya tu rasa ianya menepati cita rasanya. Bahan yang saya gunakan adalah plywood 15mm dan ditampal dengan kemasan formika berwarna chocklat gelap. Kos untuk membuatnya lebih kurang Rm 380. Dan ianya boleh dijual pada harga Rm850. 

Saturday 6 September 2014

Idea untuk menghias Rumah

Salam Rakan-rakan semua.
Ramai yang bertanya saya bagaimana nak dapatkan idea menghias rumah. Bagi saya memang sukar saya nak jawab sebab masing-masing punya cita rasa dan rumah yang berbeza. Cuma saya selalu lihat dan cipta idea dari benda yang dah ada dan saya ubahsuai sedikit dengan minat dan impian yang kita inginkan. Alah..... tengoklah kat mana-mana majalah dan ubahsuai  sikit dengan kesesuaian rumah kita. Selain daripada tu tengok-tengok sikit bajet yang kita ada. Kalau tak boleh buat sekali buatlah secara beransur-ansur ikut kemampuan. Nak keluarkan duit selepuk tu ooooh... tidak..... Cubalah buat mana saya kita boleh. Kalau tak boleh intai-intailah kat kedai. manalah tau cukup bajet kita. Kalau bajet tak cukup buatlah secara berperingkat satu sudut, satu sudut dulu. Dua tiga bulan kan siap. Yang penting ianya memenuhi matlamat kita 
Hari tu saya tinjau-tinjau kat intenet, dapatlah video yang saya rasa dapat menjawab soalan member-menber. Try tengoklah kot-kot ada yang boleh diterapkan dalam rumah kita. Ok layan.... bro


Kursus Asas Pembinaan Perabut.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Saya berdoa semoga semua rakan-rakan dilindungi oleh Allah S.w.t. Terima kasih kepada semua rakan-rakan kerana menyokong dan memberi semangat kepada saya untuk mengendalikan blog ini. Bukanlah tujuan saya untuk mengaut keuntungan dari blog ini  tetapi blog ini saya ujudkan adalah untuk memberi pengetahuan kepada rakan-rakan tentang ilmu-ilmu pertukangan. Mudah-mudahan sedikit ilmu yang saya beri nanti akan rakan-rakan gunakan untuk membuat perabut di rumah sendiri atau mungkin juga boleh digunakan untuk mendapat duit sampingan. Tidak ada daya saya untuk memberi semua orang wang tetapi apa yang saya mampu beri ialah sedikit ilmu yang saya ada. 
Saya amat bersyukur kepada rakan-rakan kerana ramai daripada rakan-rakan telah menghantar email kepada saya untuk mengikuti kursus asas yang saya akan adakan nati. Terima kasih banyak-banyak. Bila kursus itu akan dijalankan , semua rakan-akan akan saya beritahu. Mungkin saya tak boleh buat sekali, kerana terlalu ramai. Mungkin saya akan adalah secara dalam beberapa group. Dalam satu-satu kursus saya hanya akan mengajar 15 - 20 peserta sahaja kerana saya mahukan semua orang akan dapat apa yang saya ajar.
Sekarang saya sedang menyiapkan tempat, peralatan, nota dan keperluan untuk kursus itu nanti. Jadi saya tak mahu nanti peserta tidak dapat ilmu yang saya beri. Biarlah apa yang saya ajar nanti akan memberi manafaat kepada rakan-rakan. Dan kursus yang saya adakan ini adalah kursus kali yang pertama dan jika berlaku kekurangan biarlah kekurangan yang minima. Dalam kursus itu nanti saya akan ajar tiori dari segi peralatan dan bahan, cara membuat kabinet dan memasang, memasang pintu sehingga projek itu siap. Walau kabinet itu kecil tapi sekurang-kurangnya peserta boleh bawa balik.Saya mohon maaf atas kelewatan ini. 
Insaallah saya akan beritahu 2 - 3 minggu sebelum dijalankan supaya rakan-rakan dapat merancang cuti dan masa. Terima kasih banyak-banyak.

Friday 1 August 2014

Selamat Hari Raya

As-salam
Hari ini masuk hari yang ke lima kita beraya. Rasanya terlalu cepat masa berlalu. Sempena dengan hari yang mulia ini saya menyusun sepuluh jari kepada semua pelanggan , pengunjung-pengunjung blog skillperabut dan semua rakan-rakan andainya saya terkasar bahasa, terlanjur bicara, termakan dan terminum . Maaf zahir dan batin. Terima kasih kerana menyokong , memberi cadangan, bertukar idea dan menjadikan  saya sebagai sahabat anda sekelian. Saya doakan anda sihat, bahagia dan mendapat keberkatan dari Allah yang maha berkuasa. Amin.

Wednesday 2 July 2014

Salam Ramadhan

Assalamualaikum.
Saya ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada rakan-rakan dan pengunjung-pengunjung blog ini. Semoga bergembira menyambut bulan yang mulia ini.

Tanpa disedari hari ini masuklah hari yang kelima kita berpuasa. Semua umat Islam tentunya rasa bersyukur menyambut bulan yang mulia ini dengan mengerjakan segala amalan-amalan yang baik . semoga amalan yang kita lakukan akan mendapat ganjaran dari Allah , baik di dunia atau pun di akhirat. Bersyukur kerana kita dapat menyambut sekali lagi pada ramadhan ini. Ada kalangan orang-orang yang rapat dengan kita telah pun kembali menghadap Yang Maha Esa. Selamat berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Raya.

Wednesday 18 June 2014

Berkunjung ke Sabah

Hampir 26 tahun aku tak berkunjung ke Sabah dibawah bayu , tempat dimana aku pernah berkhidmat selama 8 tahun pada tahun 80an. Rasa gembira juga aku di hantar oleh Jabatanku untuk mengikuti kursus di sini. Disamping melihat kepesatan pembangunan Sabah, aku juga dapat melawat kawan-kawan lamaku dulu.Aku rasa macam tak percaya dapat menjejak kaki kembali ke bumi yang bertuah ini , meskipun aku cuba berkali-kali untuk datang kesini untuk melawat rakan-rakan , namun atas faktor masa menyebabkan aku terbantut untuk berkunjung ke sini.
Suasana masih tenang seperti dulu , namun atas kepesatan pembangunan maka kota kinabalu kini dilanda masalah kesesakan yang teruk. Tapi syukur alhamdulillah ianya menandakan ramai kalangan rakyat Sabah telah mempunyai ekonomi yang kukuh. Rata-rata tempat yang aku kunjungi penuh sesak dengan ramai orang. Aku berkesempatan makan di Teluk Likas yang dulunya taklah semeriah seperti ini. Ianya ceria dan sesak dengan ramai orang yang menjamu selera. 


Teringat nostalgia lama ketika aku berada disini dulu. Tapi suasananya tidaklah secantik sekarang . Rasa seronok juga dapat bertemu dengan member-member lama.. Syukur alhamdulillah.


Tuesday 10 June 2014

kabinet pelengkap dapur

Salam.
Syukur alhamdulillah kerana kita sentiasa diberi rahmat dan kenikmatan oleh Allah yang maha pengasih lagi penyayang. Dengan kenikmatan yang diberikan akan menjadikan diri kita ini sentiasa bersyukur dan memuji kebesarannya.
Zaman sentiasa berubah. Dari kita kecil sehingga kita dewasa berbagai-bagai perubahan telah berlaku . Baik dari segi ilmu, kerjaya ,fizikal dan kebendaan semuanya akan berbeza mengikut masa. Dari kita susah kepada hidup kita selesa dan mewah. Alhamdulillah atas nikmatnya.
Hari ini saya ingin berkongsi dengan pengunjung-pengunjung tentang keperluan dan kebaikan mempunyai kabinet dapur. Semua manusia inginkan sesuatu yang cantik dan menarik. Begitu juga keadaan keselesaan dalam rumah dan dapur. Yang pasti keadaan dapur mesti selesa dan kemas supaya penyediaan makanan untuk keluarga lebih mudah dan tidak terganggu. Samaada dapur kita besar atau kecil ia tidak menjadi masalah. Kabinet dapur boleh diperbuat daripada berbagai bahan. Antaranya chipboard, multiboard, polyster, kemasan formica , kemasan nyatoh dan sebagainya. Semuanya bergantung kepada kemampuan kita. Nak yang murah boleh gunakan chipboard atau polyster, nak mahal boleh gunakan nyatoh atau kemasan fomica. 
Chipboard murah tetapi ianya tidak tahan air dan kelembapan. Ianya akan mengembang dan pecah. Yang memerlukan ketahanan , gunakanlah nyatoh atau kemasan fomica. Tetapi harganya mahal sedikit. Kebaikan mempunyai kabinet dapur adalah kerana keadaan dapur kita nampak kemas dan menarik. Semua peralatan dapur boleh disusun dengan cantik dan tidak kelihatan jika tersimpan didalam kabinet. Peralatan dapur memang banyak dan sukar disusun jika tidak mempunyai kabinet.  Peralatan yang berat disusun disebelah bawah dan yang ringan letakkan disebelah atas. Ketinggian kabinet sebelah bawah ialah 3' dan sebelah atas adalah 2 '. Namun ada juga yang memasang kabinet dapur sehingga keparas siling. Bergantung kepada keperluan kita. 
Disini saya beri satu contoh kabinet yang saya buat untuk pelanggan saya. Ianya diperbuat daripada multiboard dan dikemaskan dengan formika 1G. Semoga sedikit panduan yang saya berikan akan membantu rakan-rakan untuk memilih dan mereka kabinet dapur.





Monday 9 June 2014

Terima kasih Rakan-rakan.

Saya memang amat berterima kasih kepada rakan-rakan yang sudi mengunjungi blog saya , bukan saja bertanya , memberi dorongan, memberi cadangan, ingin mengikuti kursus dan  bagai-bagai lagi. Sesungguhnya dorongan yang rakan-rakan berikan amat-amat saya hargai. Kini pengunjung blog saya telah mencecah melebihi 36,000 orang dan satu yang saya tak jangka. Tuajuan saya pada asalnya hanya ingin memberi sedikit ilmu yang saya ada pada rakan-rakan bukan untuk mencari keuntungan. 

Setiap yang rakan-rakan tanya sedaya upaya saya akan jawab, meskipun kadang kala terlambat atas sebab-sebab kesuntukan masa. Yang penting saya dapat memberi sedikit kemahiran saya dan amat berbangga sekiranya tuan dapat membuat sendiri perabot dirumah . Jika sekiranya inginkan bantuan tuan boleh hubungi saya di skillperabut@gmail.com. Terima kasih.

Monday 21 April 2014

Kembalinya Kerahmatullah Cikgu Wases Bin Abd Samad

Al-fatihah buat allahyarham cikgu Wases Bin Abd Samad yang telah kembali kerahmatullah pada hari Jumaat 18hb. April 2014 yang lalu. Semoga allahyarham berasa tenang disisi Allah . Kami seluruh penduduk kampong sungai nibong ingin merakamkan takziah dan kesedihan kepada keluarga Allahyarham. Semoga sabar menghadapi dugaan yang amat besar ini. Dari Dia kita datang dan kepadanya jugalah kit kembali. 

Wednesday 9 April 2014

KURSUS MEMBUAT PERABUT

Salam.
Saya banyak menerima pertanyaan dari pengunjung-pengunjung tentang kursus asas membuat perabot hujung minggu. Mereka mencadangkan kepada saya supaya saya dapat mengendalikan kursus membuat perabot pada hujung minggu. Saya rasa satu cadangan yang baik. Disamping saya dapat mengenali pengunjung-pengunjung setia blog saya, saya juga dapat memberi sedikit ilmu yang ada untuk dimanafaat kepada semua rakan-rakan. 
Sekarang saya sedang mengumpul cadangan daripada rakan-rakan mengenai kursus yang saya akan jalankan nanti. Untuk pengetahuan rakan-rakan kursus yang akan saya jalankan nanti hanya boleh menampung 20 orang peserta sahaja. Ini kerana bilik kuliah dan bengkel saya agak terhad. 
Masa mungkin pada hujung bulan mei atau bulan Jun. Harap rakan-rakan boleh bagi cadangan.
Segala cadangan boleh dihantar ke email : skillperabut@gmail.com

Sunday 6 April 2014

Memilih Warna Kabinet Dapur

Salam Sejahtera.
Semalam saya baru menyiapkan tempahan sebuah  kabinet dapur yang di tempah oleh seorang rakan. Alhamdulillah warna dan jubin yang dipilih  memang bersesuaian dan menimbulkan daya tarikan yang menyerlah. Seorang rakan  bertanya kepada saya , apakah warna yang menarik bagi sebuah kabinet dapur. Saya jawab " lihat pada jubin, cat dinding, keluasan dapur dan akhir sekali citarasa kita ". Memang warna jubin memainkan peranan yang penting dalam memilih kabinet dapur  Kesesuaian adalah perlu. Sebagai contoh, kalau jubin kita warna hitam tentu kita tidak akan memilih kabinet dapur warna merah. Sebab ia tidak sesuai. Jadi kaji warna persekitaran dan pilihlah warna yang bersesuaian. Minggu ni saya menyiapkan kabinet dapur berwarna hitam sebab jubin yang terdapat pada dapur ini berwarna hitam dan dindingnya warna putih. Jadi adunan warna-warna ini memang menyerlah. Terima kasih cikgu yaya.


Monday 3 March 2014

Mesyuarat Panel Kurikulum Standard Kolej Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia


Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Hari ini sehingga 6hb. Mac 2014 saya telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat Kurikulum Standard Kolej Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia. saya telah ditugaskan untuk merangka KSKV Kursus Timber Processing And Finishing. Tujuan saya menulis disini adalah untuk memberi sedikit pengetahuan dan kefahaman kepada rakan-rakan mengenai matlamat dan hala tuju Kolej Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia.
Tranfomasi Pendidikan Vokasional telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Malaysia beberapa tahun yang lalu. Tujuannya adalah untuk melahirkan tenaga kerja dalam bidang tertentu dan dapat memenuhi kehendak negara dan industri yang berkaitan dengan mendapat pendapatan yang tinggi. Selepas tamat pengajian selama 4 tahun pelajar akan di anugerahkan Diploma Kolej Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kursus-kursus baru seperti komputer, penerbangan, perfileman, perkapalan, pengurusan pentas, Insuran, perbankan, pelancongan , Timber processing & Finishing dan sebagainya telah diadakan di kolej-kolej Vokasional. Untuk makluman lanjut rakan-rakan boleh menghubungi Kolej Vokasional yang berdekatan. Kemasukan pelajar adalah pelajar yang telah menduduki peperiksaan PMR. Ok terima kasih.

.

Monday 27 January 2014

Kelebihan Perabut Tempahan

As-salam dan selamat sejahtera.
Perabot merupakan peralatan yang perlu di rumah kediaman kita . Ramai daripada kita mengimpikan perabot yang cantik dan menarik sesuai dengan citarasa kita. Tetapi tidak ramai daripada kita yang  memahami faktor mutu dan ketahanan perabot. Jangan kita melihat dari segi kecantikan dan design sahaja tanpa mementingkan ketahanan perabot. Perabot boleh diperolehi dengan membuat tempahan atau membeli di kedai-kedai atau di pusat pameran perabot. Dua tempat ini mempunyai mutu dan bahan yang berbeza. Biasanya bahan yang digunakan di bengkel-bengkel menggunakan bahan yang berkualiti tinggi iaitu kayu padu atau multi board. Tetapi perabot siap sedia menggunakan hardboard yang ditampal dengan kemasan plastik.
Kedua-dua jenis perabot ni tentunya mempunyai perbezaan yang berbeza. Perabot tempahan mempunyai kualiti yang tinggi dan tahan dari segala perubahan cuaca tetapi perabot siap sedia lemah dari segi ketahanan dan tidak tahan dengan perubahan cuaca terutama kelembapan dan haba. Selain daripada itu perabot siap sedia akan melengkong disebabkan oleh kelembapan dan tiada ketahanan cuaca.
Bezanya harga perabot tempahan lebih tinggi sedikit jika di bandingkan dengan perabot siap sedia.Tetapi ketahanan dan kecantikannya agak kurang. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada kemampuan dan citarasa sendiri. Contoh kabinet dapur yang saya boleh tunjukkan.Tq





Monday 6 January 2014

Almari fail

Cuti semesta yang panjang sudah semestinya aku gunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah. Bagi aku sudah semestinya aku gunakan untuk menyiapkan tempahan pelanggan dengan bantuan pekerja.Kali ini projek yang perlu aku siapkan adalah satu rak fail berukuran 8' tinggi dan panjang 7' sebanyak 4 buah.  Bahan yang aku gunakan  adalah papan multiboard dan dikemaskan  dengan sealer tone kekuningan dan clear warna kilat. Inilah bentuk rak fail yang aku buat untuk sebuah jabatan kerajaan di mersing Johor. T. Kasih.